SHAH ALAM 27 Okt.- Banjir kilat selama kira-kira sejam melanda kawasan letek kereta di Stadium Shah Alam berhampiran Terminal Bas Semenatara petang tadi.
Banjir dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4 petang ekoran hujan lebat sejak pukul 2.30 petang dan berlarutan sehingga pukul 4.30 petang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Rizal Buang berkata, pihaknya merekodkan paras air banjir setinggi 0.3 meter di kawasan berkenaan.
“Bagaimanapun banjir kilat itu telah surut kira-kira pukul 5 petang.
“Banjir berpunca daripada hujan lebat yang berterusan dan sistem perparitan yang tidak mampu mengalirkan air permukaan ke Sungai Damansara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Rizal memberitahu, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.
“Namun, kita akan terus memantau dan membuat tindakan susulan tentang kejadian ini selain akan menyampaikan maklumat terkini dari masa ke semasa,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










