KEMAMAN 25 Okt. – Seramai 1,000 sukarelawan termasuk pelajar institusi pengajian tinggi akan dikerahkan ke 152 buah pangkalan hadapan bagi memberikan bantuan dalam kerja-kerja pengurusan banjir sekiranya bencana itu melanda negeri ini pada penghujung tahun ini.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhami Omar berkata, mereka akan berperanan bersama kakitangan JKM yang melibatkan proses pemindahan, pendaftaran dan kerja-kerja pengagihan makanan kepada semua mangsa.
Zuhaimi berkata, dengan adanya bantuan daripada mereka tentunya akan dapat meringankan tugas seramai 500 orang kakitangan JKM yang ditempatkan di semua pusat pemindahan.
“Sukarelawan terlibat secara langsung dalam membantu semua kerja-kerja yang berkaitan dengan pengurusan banjir dan dengan adanya khidmat sukarelawan ini dapat melicinkan lagi proses pengurusan di pusat pemindahan,” katanya.
Zuhami ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Khidmat Sukarelawan di antara pihak Kolej Ranaco Education & Training Institute dan Renaco Marine Sdn. Bhd. bersama JKM daerah, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










