KUALA TERENGGANU 23 Okt. – Bajet 2019 Terengganu yang akan dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bulan depan bakal menyaksikan pertambahan peruntukan di sektor pendidikan.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, peningkatan itu termasuk bagi membiayai beberapa inisiatif baharu yang akan diperkenalkan selaras untuk memperkasakan lagi kecemerlangan pendidikan negeri.
“Inisiatif itu antara lain akan memberi ruang kepada rakyat supaya dapat mengikuti kursus profesional yang diiktiraf oleh badan profesional.
“Kebiasaannya orang hanya melihat pembiayaan kepada program ijazah dan Doktor Falsafah (PhD) namun tidak bagi kursus profesional untuk melengkapkan seseorang menjadi anggota profesional dalam bidang tertentu. Jadi kita akan biayai mereka,”katanya
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian hadiah Pertandingan Terengganu-Exxonmobil Mathematics Innovation Challenge (TExMIC) dan Spark Your Creativity Challenge (SYCC) di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Kerajaan Subsidiari-subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Sukiman Mohamed; Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Shafruddin Ali Hussin dan Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Prof. Dr. Wan Nor Liza Mahadi.
Dalam pembentangan Bajet tahun lalu, kerajaan Barisan Nasional mencadangkan peruntukan RM5 juta bagi bidang pendidikan termasuk pelaksanaan aktiviti kecemerlangan melibatkan kelas bimbingan, tutorial dan akademik serta motivasi.
Peruntukan itu juga akan diguna pakai untuk pelaksanaan program Celik Jawi.
Dalam majlis itu, Ahmad Samsuri menyampaikan hadiah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Lela Segara yang menjadi juara bagi ketegori menengah atas.
SMK Dato’ Razali Ismail pula muncul sebagai juara kategori menengah rendah manakala Sekolah Kebangsaan Padang Mengkuang bagi kategori sekolah rendah.
TExMIC 2018 yang dianjurkan sejak 2011 bertujuan mewujudkan pemahaman teori Matematik dalam kehidupan seharian, membina kemahiran berpasukan, berkomunikasi dan kemahiran berfikir secara kritis dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Pada edisi kali ini, seramai 516 pelajar menyertai TExMIC dengan 100 daripadanya yang mewakili 25 pasukan berjaya mara ke peringkat akhir manakala bagi SYCC pula 30 orang. -UTUSAN ONLINE










