Bajet 2019: Kerajaan perlu prihatin kebajikan rakyat - Utusan Malaysia

Bajet 2019: Kerajaan perlu prihatin kebajikan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBENTANGAN Bajet 2019 Jumaat minggu depan, sebagaimana belanjawan negara sebelum ini sering ditunggu-tunggu oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Bagaimanapun, pembentangan kali ini mencatat sejarah tersendiri apabila kali pertama di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), selepas lebih 60 tahun belanjawan negara dicaturkan oleh Barisan Nasional (BN).

Masyarakat daripada peringkat rendah sehinggalah kumpulan profesional sudah tentunya berharap ada ‘sesuatu’ yang boleh menggembirakan mereka.

Misalnya golongan pekebun getah dan sawit yang beberapa bulan ini berhadapan situasi sukar berikutan harga komoditi jatuh merudum, sudah tentu dambakan sesuatu daripada kerajaan untuk sekurang-kurangnya membantu mereka ‘bernafas’.

Dalam kalangan guru, pelajar, peminjam Perbada­nan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), pemandu teksi dan grab, buruh, majikan, perusahaan kecil sederhana (PKS), kakitangan swasta, kakitangan kerajaan dan pelbagai lagi pastinya menantikan berita baik daripada pembentangan Bajet 2019.

Bagaimana pula dengan bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)? Adakah jumlahnya ditambah? Adakah kelompok penerimanya diperluas?

Bagaimana dengan usa­ha kerajaan untuk menga­wal kenaikan kos sara hidup? Adakah harga petrol akan turun? Adakah kerajaan PH akan mula melunaskan janji-janji dalam manifesto mereka? Tentunya ini berlegar dalam fikiran rakyat.

Namun begitu, terta­nya juga sama ada kerajaan mampu menunaikan segala yang berbangkit itu, memandangkan kadar hutang negara kini mence­cah trilion ringgit seperti dicanangkan sejak mengambil alih pentadbiran negara.

Beberapa kenyataan da­lam kalangan kepemim­pinan sebelum ini yang memberi gambaran cukai baharu bakal diwujudkan bagi menampung perbelanjaan negara, sedikit seba­nyak menyuntik rasa gusar dalam kalangan rak­yat.

Perkara itu mungkin tidak boleh dielak, mengambil kira kadar keberhutangan negara yang tinggi seperti ditegaskan kerajaan, selain pengurangan pendapatan berikutan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Melihat kepada kenya­taan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu menumpukan kepada usaha memulihkan ekonomi negara sejak ke­belakangan ini, dijangkakan Bajet 2019 akan memfokuskan kepada agenda itu.

Namun, pada masa sama diharapkan kerajaan tidak terlepas pandang soal kebajikan rakyat terutamanya kumpulan yang benar-benar memerlukan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN