KUALA LUMPUR 24 Okt. – Bajet 2019 perlu menyediakan dasar yang kukuh dan jelas dalam usaha membantu ekonomi negara berdepan persekitaran semasa yang mencabar dalam masa terdekat.
Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Ambank, Dr. Anthony Dass berkata, Bajet 2019 yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen 2 November ini akan menjadi penting disebabkan beberapa perkara.
Buat permulaan, ia akan menjadi bajet pertama yang akan dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
“Seterusnya, bajet ini adalah mencabar kerana kerajaan perlu untuk menetapkan kewangan fiskal yang besar dan pada masa yang sama menangani kesejahteraan rakyat,” katanya dalam laporan bertemakan Bajet 2019 oleh AmBank Group Research di sini hari ini.
Beliau juga tidak merasakan bajet akan datang bakal menampilkan langkah-langkah populis jangka pendek seperti menyediakan subsidi, geran dan pembiayaan mudah yang diterajui kerajaan.
Mengambil kira sentimen FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) tempatan, Anthony menetapkan unjuran berhati-hati berbanding pasaran pendapatan tetap.
Beliau berkata, ia disokong oleh pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih perlahan sementara pendapatan korporat 2019 dijangka berkembang sebanyak 5.7 peratus daripada 2.4 peratus pada 2018.
“Selain itu, peningkatan defisit fiskal atau KDNK boleh membuka pintu untuk agensi penarafan asing bagi mengkaji semula penilaian semasa.
“Oleh itu, kami menurunkan sasaran KLCI 2018 dan 2019 kepada 1,790 mata (sebelum ini 1,900 mata) dan 1,890 mata (sebelum ini 2,020 mata),” katanya.
Beliau mengekalkan unjuran kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.25 peratus sehingga separuh pertama 2019, dengan potensi kenaikan 25 mata asas pada separuh kedua tahun hadapan.










