KOTA BHARU 28 Okt. – Tekanan kos sara hidup terutama rakyat di kawasan luar bandar yang terjejas akibat kejatuhan harga getah dan kelapa sawit akan diberikan perhatian oleh kerajaan dalam pembentangan Bajet 2019 Jumaat ini.
Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin mengakui pihaknya mendengar rungutan daripada rakyat walaupun ‘kurang jelas’ mengenai kos sara hidup yang dihadapi mereka.
Beliau berkata, kerajaan menyedari keadaan tersebut dan langkah-langkah yang diambil bakal dibentangkan dalam bajet di Dewan Rakyat nanti.
“Secara umumnya, tidak begitu jelas pada saya pasal rungutan tetapi kita masih dengar tekanan dan kos sara hidup tinggi terutamanya di Kelantan, harga getah dan kelapa sawit jatuh.
“Ini perkara yang rakyat rasa tertekan, sebagaimana sedia maklum, harga ini sentiasa berubah.
Pada masa ini harga berada pada tahap rendah mungkin penyebab rakyat rasakan terutamanya di Kelantan apatah lagi nak masuk musim tengkujuh, hendak menoreh tidak boleh, kerajaan sedar perkara itu, jadi tunggu Bajet 2019,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan Majlis Perjumpaan Khas bersama Ketua Jabatan dan Agensi Persekutuan negeri di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Bandar Baru Tunjong di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan keluhan beberapa peneroka mengenai pendapatan mereka yang kini tidak sampai RM900 sebulan akibat kejatuhan harga komoditi sawit sejak beberapa bulan lalu.
Dalam pada itu, Mohd. Radzi meminta orang ramai supaya menyampaikan aduan atau rungutan mengenai kos sara hidup atau kenaikan harga barang secara terus kepada kementerian yang terlibat agar langkah-langkah untuk mengatasi masalah tersebut dapat diambil.
“Kadang-kadang kita tidak tahu, salurkan maklumat tersebut supaya pihak berkaitan boleh melihat keperluan melakukan sesuatu berdasarkan maklumat yang disampaikan,” katanya.









