KUALA LUMPUR 25 Okt. – “Akaun beliau dibekukan dan kini minta lagi jumlah jaminan tambahan. Ia tidak ubah seperti meletakkan seseorang dalam perlawanan tinju dengan tangannya diikat ke belakang.”
Perumpamaan tersebut dinyatakan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika memohon agar Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Azman Ahmad mengguna pakai ikat jamin bagi 32 pertuduhan terdahulu bagi kes pada hari ini.
“Anak guam saya telah membayar sejumlah RM4.5 juta bagi pertuduhan-pertuduhan sebelum ini. Jumlah tersebut mungkin yang paling tinggi dalam sejarah perundangan negara ini. Tidak perlu letak jumlah ikat jamin yang baharu, guna pakai yang sedia ada. Jaminan sepatutnya untuk memastikan kehadiran tertuduh dan bukannya satu hukuman awal,” ujar peguam tersebut.
Sementara itu, peguam, Datuk K. Kumaraendran yang mewakili bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM500,000 memandangkan anak guamnya merupakan seorang bekas penjawat awam yang telah berkhidmat lebih 20 tahun dan sangat berdedikasi.
“Anak guam kami tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Beliau juga tidak akan melarikan diri atau cuba melarikan diri malah turut memberi aku janji akan menjaga tingkah laku beliau termasuk tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.
Hujah tersebut bagaimanapun dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang menyatakan pertuduhan-pertuduhan terhadap Najib sebelum ini adalah berbeza dengan apa dihadapinya hari ini.
“Jumlah ikat jamin RM3 juta yang dicadangkan hari ini bukanlah satu bentuk hukuman sebaliknya mengambil kira fakta dan tahap serius kes tersebut. Oleh itu, kami memohon agar hujah jaminan sebelum ini diguna pakai ditolak,” katanya.
Berhubung wang jaminan Mohd. Irwan Serigar, Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan berkata, tertuduh terbabit telah menerima faedah emolumen dan bayaran secara berlebihan sebagai pengarah berjumlah jutaan ringgit.
“Beliau bukanlah seorang individu yang baik perilakunya, jika tidak beliau takkan berdiri dalam kandang tertuduh pada hari ini. Beliau merupakan pemegang amanah tertinggi di negara ini yang diamanahkan dengan wang negara. Tetapi sekarang beliau berdiri di sini dan dituduh kerana mengkhianati amanah tersebut,” tegas Sri Ram.
Selepas mahkamah menetapkan jaminan RM1 juta dengan dua penjamin bagi setiap tertuduh, Muhammad Shafee bangkit sekali lagi memohon agar anak guamnya diberi tempoh tiga minggu untuk melunaskan bayaran tersebut dan permohonan sama dibuat oleh Kumaraendran tanpa menyatakan tempoh yang diperlukan bagi berbuat demikian.
Azman selepas membuat pertimbangan membenarkan ikat jamin dibuat secara ansuran dengan RM500,000 dibayar hari ini dan selebihnya dalam tempoh 10 hari bermula hari ini.










