KUALA LUMPUR 21 Okt. – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melahirkan kekesalan dengan insiden pemandu teksi bertindak biadab terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa sesi Pertemuan Bersama Pemandu-pemandu Teksi Langkawi di pulau peranginan itu, hari ini.
Menerusi laman Twitter, Mohamed Azmin berkata, setiap individu boleh mempunyai pandangan yang berbeza, namun perlu mengikut etika dalam pertuturan.
“Saya kesal dengan tindakan segelintir pemandu teksi yang tidak sopan dan bertindak kasar. Kita boleh berbeda pandangan tetapi mestilah beretika dan tertib dalam pertuturan,” katanya menerusi laman Twitter rasminya, hari ini.
Dalam sesi dialog Perdana Menteri dengan golongan terbabit hari ini, beberapa pemandu teksi bertindak biadab dengan keluar majlis dan mengeluarkan kata-kata kesat kerana tidak bersetuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan e-hailing, Grab.- UTUSAN ONLINE










