KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali mengukuhkan kedudukannya untuk mempertahankan jawatan tersebut apabila mendahului pencabarnya, Mohd. Rafizi Ramli selepas selesai pengiraan pada pemilihan PKR Kedah fasa dua di negeri ini semalam.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu memperoleh 2,606 undi menjadikan keseluruhannya 38,137 undi manakala Mohd. Rafizi yang juga Naib Presiden PKR 2,080 undi mengumpul 36,233 undi.
Lima cabang yang mengadakan pemilihan itu adalah Jerai, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu.
Mohamed Azmin mendapat sokongan di Sungai Petani dengan mendapat 912 undi, Jerai (324), Kulim-Bandar Baharu (407) dan Padang Serai (711).
Mohd. Rafizi hanya mendapat sokongan di Merbok dengan 414 undi.
Fasa satu pemilihan PKR di negeri ini kelmarin menyaksikan Mohamed Azmin mendapat 1,148 undi manakala Mohd. Rafizi 1,031 undi.
Jumlah keseluruhan ahli PKR yang berdaftar dan layak membuang undi di 15 cabang di negeri ini ialah seramai 49,924 orang.
Bagi perebutan jawatan Naib Presiden PKR, calon yang mendapat undi tertinggi setakat pukul 8 malam ialah Nurul Izzah Anwar dengan 39,624 undi; Zuraida Kamaruddin (31,348); A. Xavier Jayakumar (27,198) dan Tian Chua (25,169).









