KUALA LUMPUR 22 Okt. – Hanya kurang 1,300 undi yang memisahkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR setakat ini.
Sekiranya merujuk kepada jadual pengundian yang dimuat naik oleh Rafizi dalam akaun Twitter, Naib Presiden PKR itu ketinggalan 862 undi sahaja, mengambil kira keputusan tidak rasmi di Negeri Sembilan dan Melaka yang berlangsung kelmarin.
Setakat ini, 10 negeri telah mengundi termasuklah dua pertiga daripada Selangor dengan Rafizi mendakwa telah menang tujuh daripadanya.
Dengan berbaki empat negeri iaitu Kedah, Perak, Sabah dan Sarawak, pemilihan jawatan nombor dua parti itu dijangka terus berlangsung dalam suasana ‘panas’.
Rafizi dikhabarkan berpeluang cerah di Kedah, manakala Mohamed Azmin mendapat sokongan PKR Perak dan Sabah manakala Sarawak pula sukar dijangka.
Situasi tersebut memberi gambaran betapa sengit pertandingan untuk menjadi orang paling kanan kepada Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Soalnya, mampukah Mohamed Azmin yang setakat ini dilihat masih tenang, menyekat kemaraan Rafizi? Sudah ada cakap-cakap bekas Ahli Parlimen Pandan itu mampu mengatasi Mohamed Azmin berdasarkan momentum semasa pemilihan.
Menjawab kepada persoalan itu, penganalisis politik firma penyelidikan Skydata Centre, Dr. Ainul Adzellie Hasnul meramalkan margin yang sangat kecil antara kedua-dua pemimpin tersebut, namun memilih Mohamed Azmin mengekalkan jawatan Timbalan Presiden.
Tiga sebab digariskan Ainul Adzellie dengan yang pertama, Mohamed Azmin dianggap sebagai orang kanan Anwar sejak parti ditubuhkan pada 1998.
“Keduanya, populariti Rafizi melonjak hanya selepas membongkar isu seperti National Feedlot Corporation (NFC), berbeza dengan Mohamed Azmin yang mendaki setapak demi setapak sehingga ke posisi beliau sekarang.
“Ketiga ialah pengaruh Mohamed Azmin sendiri sebagai penyandang Timbalan Presiden, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), bekas Menteri Besar dan kini menteri Kabinet. Ini sangat berbeza dengan Rafizi,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Pemilihan PKR dijangka berakhir pada awal November ini dengan banyak pihak masih lagi berbelah bahagi antara Mohamed Azmin atau pun Rafizi yang bakal ‘mendampingi’ Anwar iaitu Presiden parti serta bakal Perdana Menteri kelapan.











