Azmin atau Rafizi jadi pilihan PKR Selangor - Utusan Malaysia

Azmin atau Rafizi jadi pilihan PKR Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seramai 61,000 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) di enam cabang akan menjadi penentu siapa pilihan PKR Selangor sebagai Timbalan Presiden parti tersebut dalam pemilihan fasa terakhir hari ini.

Enam cabang tersebut adalah Tanjong Karang, Kuala Selangor, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat. 

Perebutan kerusi nombor dua PKR antara penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli menjadi tumpuan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding sebagai Presiden parti. 

Mohamed Azmin yang merupakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, kini memperoleh 14,315 undi mendahului Rafizi dengan 12,948 undi menerusi dua pemilihan kepimpinan PKR sebelum ini. 

Kemenangan Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak itu diperoleh melalui 10 cabang meliputi Kuala Langat, Gombak, Petaling Jaya Utara dan Petaling Jaya Selatan, Sepang, Kota Raja, Subang, Serdang, Sungai Besar serta Sabak Bernam. 

Rafizi pula hanya menang enam cabang iaitu Klang, Puchong, Selayang, Kapar, Hulu Selangor dan Kelana Jaya setelah seramai 191,895 ahli PKR mengundi dalam dua pemilihan kepimpinan sebelum ini. 

Selangor mempunyai 22 cabang dengan kira-kira 250,000 ahli layak mengundi. 

Sementara itu, Ketua Koordinator PKR Selangor, Hassan Yusof berkata, pengundian akan bermula pada pukul 10 pagi ini dan berakhir pukul 5 petang nanti.

“Keputusan awal dijangka akan diketahui pada pukul 6 petang,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN