KUALA LUMPUR 31 Okt. – Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu mengarahkan semua pihak terlibat supaya menjalankan audit keselamatan ke atas semua jeti untuk menangani budaya penyelenggaraan yang lemah.
Naib Pengerusi Kanan, Yayasan Pencegahan Jenayah, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihak terlibat perlu bertanggungjawab bagi penyelenggaraan dan pemeliharaan jeti tersebut.
“Jeti terutamanya yang diperbuat daripada kayu, perlu diperiksa lebih kerap dan audit keselamatan pula mesti dijalankan kerana kemudahan itu terjejas akibat penggunaan setiap hari, cuaca buruk dan air laut yang menghakis. Ia perlu sentiasa dipantau untuk memastikan keselamatannya terjamin.
“Jika dilihat insiden terbaharu, ia jelas menunjukkan keselamatan dan kesihatan tidak diambil serius dan terdapat kekurangan aspek pemeriksaan serta pemantauan berterusan ke atas kemudahan pelancongan. Ini juga menunjukkan audit keselamatan tidak dijalankan secara kerap untuk memastikan struktur terbabit selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Kelmarin, seramai 12 orang cedera termasuk seorang darinya parah dalam kejadian jeti runtuh di Pulau Tikus, Langkawi.
Difahamkan kejadian itu melibatkan 40 mangsa yang kebanyakannya merupakan penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Lam Thye yang juga Tokoh Keselamatan berkata, insiden tersebut sepatutnya membuka mata semua pihak tentang keperluan penyelenggaraan semua kemudahan pelancongan di pulau itu.
“Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) untuk industri pelancongan harus diamalkan untuk keselamatan semua pihak.
“Oleh itu, mereka terlibat dalam industri pelancongan harus mengamalkan pengurusan dan amalan KKP yang baik untuk mengurangkan bilangan kemalangan serta masalah kesihatan dalam sektor terbabit,” katanya. -UTUSAN ONLINE










