Pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari Khamis lalu cukup penting untuk melihat hala tuju kerajaan Pakatan Harapan (PH) membawa Malaysia ke arah agenda rakyat dan negara. Sebagai dokumen dasar PH yang pertama selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, rakyat sudah tentu ingin mengetahui apakah langkah dan strategi kerajaan PH dan bagaimanakah pula langkah dan strategi berkenaan boleh mencapai agenda aspirasi negara dan rakyat melalui RMK-11.
Secara umumnya, enam tonggak melibatkan 19 bidang keutamaan dan 66 strategi yang diumumkan pada pembentangan tersebut. Enam tonggak tersebut meliputi aspek tadbir urus, pembangunan dan kesejahteraan rakyat, pembangunan wilayah yang seimbang, modal insan, alam sekitar dan ekonomi.
Tonggak pertama yang menekan aspek tadbir urus bagi tujuan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam. Di samping itu, elemen ketelusan juga menjadi antara intipati utama dalam mereformasikan tadbir urus. Pengasingan kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman juga dipasakkan. Amalan berintegriti dan berakauntabiliti menjadi teras untuk mereformasikan tadbir urus di semua peringkat. Tidak hanya setakat itu, penguatkuasaan pengurusan kewangan awam yang berhemah dan menitikberatkan sistem penyampaian awam menjadi titik tolak dalam menjayakan tonggak pertama ini.
Namun, ini bukanlah satu tugas yang mudah memandangkan perlu melibatkan penyertaaan semua peringkat lapisan kepimpinan dan rakyat. Lebih-lebih lagi, dalam menerapkan amalan integriti dan berakauntabiliti sehingga dapat dibudayakan pada semua peringkat kepimpinan dan rakyat. Sememangnya inilah yang diharapkan oleh rakyat, maka sebarang halangan dan cabaran perlulah dihadapi dengan melibatkan kehendak politik yang inginkan sebuah kerajaan yang benar-benar memperjuangkan nasib rakyat.
Agenda membela nasib rakyat dan negara perlu menjadi objektif utama dalam mana-mana keputusan dasar dan polisi kerajaan. Ini perlu diterjemahkan dalam bentuk yang boleh dilihat dan dirasai oleh segenap lapisan masyarakat.
Tonggak kedua pula tidak boleh lari daripada membicarakan aspek inklusif dan kesejahteraan rakyat. Dalam hal ini, semua genap lapisan masyarakat perlu merasai pembangunan ekonomi negara. Kuasa beli mereka perlu ditingkatkan. Tidak hanya segelintir golongan sahaja. Ini merentasi semua etnik yang menjalani kehidupan di Malaysia.
Sudah tentulah aspek membantu Bumiputera juga tidak boleh sesekali dipinggirkan. Meminggirkan bumiputera boleh memberi kesan yang cukup besar terhadap menjayakan aspek inklusif rakyat. Tidak boleh lagi menggunakan pendekatan yang menyebabkan berlakunya gejala ali baba dan mendapat untung atas angin dengan mudah. Ini perlu ditegaskan agar tidak lagi wujud golongan sebegini yang membantutkan agenda membantu bumiputera.

Tonggak ketiga pula bagi membolehkan pembangunan wilayah yang seimbang. Ini meliputi seluruh kawasan di Malaysia. Merangsang ekonomi dan menarik pelaburan melibatkan semua negeri dan kawasan demi kebaikan penduduk Malaysia. Jurang pembangunan dan kemajuan antara kawasan bandar dan luar bandar perlu dikurangkan. Tidak hanya pembangunan dinikmati di sesuatu kawasan sahaja sedangkan di kawasan yang lain serba kekurangan.
Natijiahnya, agenda untuk membolehkan semua penduduk Malaysia menikmati kek ekonomi dengan saksama sukar dicapai. Pelbagai pekerjaan yang lebih baik perlu diwujudkan di kawasan-kawasan luar bandar agar golongan ini dapat menikmati pendapatan yang lebih baik.
Tonggak keempat pula memberi penekanan terhadap aspek modal insan. Sememangnya tidak sesiapa pun boleh menafikan keupayaan modal insanlah yang akan memacu agenda kesejahteraan rakyat dan negara. Modal insan yang berkualiti akan mampu memberi impak kepada organisasi, rakyat dan negara. Mereka ini perlu berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif, berkemahiran serta mampu mengubah kedudukan ekonomi negara daripada sebarang tekanan mahupun terperangkap pada takuk yang sama. Dalam hal ini, sistem pendidikan negara yang berkualiti perlu menjadi teras utama ke arah membina negara yang inklusif, makmur dan saksama.
Tonggak seterusnya meliputi kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau. Dalam hal ini, tiga bidang keutamaan meliputi mengukuhkan lagi tadbir urus, memulihara sumber asli serta menangani perubahan iklim dan mengurangkan risiko bencana menjadi intipati utama dalam menjayakan tonggak ini. Terutamanya dalam keadaan perubahan iklim yang tidak menentu pada masa kini, memerlukan komitmen pihak kerajaan agar alam sekitar yang diwarisi oleh kita dipelihara dan dipulihara dengan baik.
Sebarang kerakusan dan ketamakan sehingga meragut pasak-pasak penting alam sekitar seperti penerokaan hutan dan tanah serta pembalakan sembarangan perlu dilihat secara serius dengan tindakan yang lebih tegas tanpa mengenal siapa. Hal ini cukup penting kerana sebarang risiko bencana akan mengundang kesan kepada semua orang dan bukan hanya terpilih buat mereka yang rakus dan tamak tersebut.
Tonggak terakhir tidak boleh lari daripada memperkukuhkan pertumbuhan ekonomi. Ini perlu melibatkan agenda merancakkan aktiviti ekonomi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) terutamanya dalam era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4). PKS yang merupakan antara enjin ekonomi Malaysia perlu lebih cekap dan mengambil peluang yang sedia ada serta meningkatkan daya saing mereka melalui produktiviti dan rantaian nilai yang lebih tinggi bukan setakat di peringkat domestik tetapi juga menembusi pasaran global dengan jayanya.
Keenam-enam tonggak bersertakan 19 bidang keutamaan dan 66 strategi mencerminkan aspirasi kerajaan PH dalam mencapai Wawasan 2020. Tidak boleh hanya memandang kejayaan yang lalu tetapi perlu menongkah arus dalam memastikan kejayaan diteruskan dengan lebih mampan serta ditadbir urus dengan lebih baik demi kelangsungan masa hadapan negara dan memenuhi harapan mengunung rakyat dalam sebuah masyarakat Malaysia Baharu.
* PENULIS ialah Profesor Madya di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Universiti Utara Malaysia.










