WASHINGTON 23 Okt. – Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence berjanji untuk mendesak Arab Saudi bagi memberi jawapan berhubung kes pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi.
Terdahulu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mendedahkan pembunuhan Jamal telah dirancang lebih awal.
“Satu dunia sedang melihat. Rakyat Amerika mahukan jawapan dan kami akan mendesak Arab Saudi berikan jawapan,” kata Pence.
Dalam pada itu, Erdogan memberi jaminan kepada anak Jamal iaitu Abdullah bahawa Turki akan melakukan segala yang termampu untuk menyelesaikan kes terbabit.
“Tukri akan melakukan segala yang perlu bagi menyelesaikan kes pembunuhan berkenaan,” kata Erdogan menerusi panggilan telefon kepada Abdullah.
Dalam perkembangan berkaitan, penyiasat di tempat kejadian menjumpai dua buah beg yang mengandungi barangan peribadi milik Jamal ketika operasi menggeledah kenderaan di Konsulat Arab Saudi baru-baru ini.
Seorang saksi mendakwa ternampak pegawai Arab Saudi bersama-sama penyiasat Turki menjalankan operasi tersebut di tempat letak kereta kenderaan itu ditemukan di daerah Sultangazi. – AFP/REUTERS











