DUBAI 15 Okt. – Arab Saudi memberi amaran akan bertindak balas terhadap sebarang sekatan yang dikenakan untuk menghukum negara itu berhubung kehilangan wartawan Jamal Khashoggi.
“Kerajaan Arab Saudi menolak sepenuhnya sebarang ancaman dan usaha untuk melemahkan negaranya sama ada melalui ugutan mengenakan sekatan ekonomi, menggunakan tekanan politik atau mengulangi tuduhan palsu,” kata seorang pegawai kerajaan yang dilaporkan oleh agensi berita negara itu.
Jurucakap itu berkata, Riyadh bersedia bertindak balas dengan tindakan lebih dashyat memandangkan Arab Saudi yang merupakan pengekport utama minyak mentah dunia itu mempunyai peranan berkesan dan penting dalam ekonomi dunia.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum ini mengancam hukuman tegas akan dikenakan jika Washington mendapati Jamal dibunuh di Konsulat Arab Saudi.
Jamal seorang warga AS dan kolumnis Washington Post merupakan pengkritik dasar Riyadh dilaporkan hilang pada 2 Oktober lalu selepas memasuki Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki.
Turki percaya wartawan itu dibunuh tetapi ia dinafikan Arab Saudi.
Bursa saham Arab Saudi sebelum ini terjejas teruk apabila Trump mengeluarkan ancaman selain tempiasnya juga dirasakan bursa saham seluruh dunia.
Dalam isu yang sama, pemimpin utama perniagaan dunia seperti bilionair, Richard Branson dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Uber Dara Khosrowshahi dan CEO JP Morgan, James Dimon serta syarikat media terkemuka seperti Bloomberg dan CNN, menarik diri daripada menyertai persidangan perniagaan selama tiga hari di Riyadh.
Sementara itu, Britain, Perancis, Jerman dan Sepanyol berkata, mereka melihat kehilangan Jamal sebagai suatu yang amat serius.
“Siasatan yang telus perlu dilakukan bagi membuktikan apa yang berlaku dan juga mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab,” kata ketiga-tiga negara itu dalam kenyataannya.
Sementara itu, sekutu Arab Saudi, Bahrain mengesa tindakan boikot dilakukan ke atas mana-mana pihak yang mahu memulaukan Arab Saudi.
Gesaan supaya tindakan itu diambil dibuat Menteri Luar Bahrain, Khalid Ahmed Al Khalifa dalam tweetnya turut mengaitkan Uber yang kepentingannya juga dimiliki kerajaan Arab Saudi kerana menarik diri daripada persidangan di Riyadh itu.
Gesaan terhadap boikot juga dibuat dalam media sosial di Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Dalam perkembangan terbaharu, Raja Arab Saudi, Raja Salman mengarahkan siasatan dalaman diadakan ketika pasukan bersama Arab Saudi-Turki siap sedia untuk memeriksa konsulat di Istanbul, tempat terakhir Jamal berada. – REUTERS










