NILAI – Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan golongan muda Melayu agar menguasai bahasa Cina memandangkan ia merupakan bahasa ekonomi serantau yang penting.
Beliau yang dicanangkan menjadi bakal Perdana Menteri kelapan berkata, saranan tersebut bagaimanapun perlu mengambil kira kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
Anwar yang juga bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat menegaskan, beliau antara individu yang mengkritik soal kelemahan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan Ahli Parlimen sebelum ini.
“Asalkan diterima tanpa disoal kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, penguasaan bahasa-bahasa lain bukan sahaja perlu ada toleransi malah harus didukung.
“Saya mengusulkan lebih ramai anak Melayu menguasai bahasa Cina kerana ia bahasa ekonomi yang penting. Saya pertahankan bahasa Cina bukan bermakna saya akan longgarkan penguasaan bahasa Melayu,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan: Visi Islam Dalam Aspirasi Malaysia Baharu sempena Muktamar Sanawi ke-47 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di kampus Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini semalam.
Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.









