PORT DICKSON 4 Okt. – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menziarhi keluarga anggota bomba yang lemas dalam operasi menyelamat di sebuah lombong dekat Puchong, Selangor, malam tadi.
Menurut Presiden PKR itu, beliau telah diberikan maklumat dan penjelasan mengenai kejadian itu dan turut diberitahu bahawa operasi menyelamat tersebut telah mengikut kaedah yang sepatutnya.
“Tetapi kadang-kadang ada hal yang tidak boleh dijangka. Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail juga akan bertemu dengan keluarga mangsa.
“Khidmat dan sumbangan mereka tidak harus kita lupakan oleh itu kebajikan ahli keluarga perlu diberikan keutamaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pengebumian Allahyarham Adnan Othman di Tanah Perkuburan Islam Raja Jumaat, Lukut di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE










