PORT DICKSON – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau gembira apabila dimaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan berkunjung ke Port Dickson bagi berkempen untuknya dalam pilihan raya kecil di sini.
Anwar yang juga calon Pakatan Harapan (PH) berkata, kesudian Mahathir itu adalah satu petanda baik bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk seluruh rakyat Port Dickson.
“Ia penting sebab Mahathir ini sebagai Perdana Menteri daripada dulu saya ingat, saya sebagai Timbalan Perdana Menteri, dia tidak pergi berkempen pilihan raya kecil.
“Kalau ada pilihan raya kecil dia serah kepada orang bawahannya daripada Timbalan Perdana Menteri sehingga pemimpin bawah yang akan pergi kempen dan dia tumpu (kepada negara),” katanya ketika berucap pada majlis Sembang Santai Usahawan Desa dan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia di sini hari ini.
Anwar berkata, kehadiran Mahathir itu dilihat akan memberi semangat kepada pengundi Port Dickson untuk menyokong calon PH dan berharap pemimpin utama negara itu dapat memberi jaminan untuk membantu mereka. – Bernama










