KUALA LUMPUR 14 Okt. – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen esok.
Upacara angkat sumpah itu diadakan pada permulaan mesyuarat kedua, penggal pertama, sidang Parlimen Ke-14.
Perkara itu disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof dalam jawapan ringkas beliau menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketika ditanya sama ada diadakan majlis untuk angkat sumpah itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming pula memberitahu, perkara itu dalam agenda mesyuarat.
Anwar mencatatkan kemenangan besar apabila memperolehi majoriti 23,560 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson semalam.
Pilihan raya itu diadakan selepas bekas Ahli Parlimennya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan pengosongan kerusi tersebut bagi memberi laluan kepada Anwar.
Tujuan pengosongan itu supaya Parlimen Port Dickson menjadi batu loncatan kepada Anwar untuk merealisasikan hasrat tertangguh beliau memegang jawatan Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE










