Antara ratifikasi konvensyen dan pengekalan Perkara 153 Perlembagaan - Utusan Malaysia

Antara ratifikasi konvensyen dan pengekalan Perkara 153 Perlembagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS lebih setengah bulan Tun Dr. Mahathir Mohamad mencatat sejarah kembali ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), hanya semalam ramai bercakap tentang satu persoalan penting yang memerlukan penjelasan tuntas kerajaan.

Selama ini, kekaguman kepada pencapaian Perdana Menteri di UNGA yang diperkatakan tetapi ramai terlupa kesan terhadap komitmen Malaysia ke arah usaha meratifikasi baki konvensyen PBB berkaitan hak asasi kerana ada antaranya bertentangan Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun sudah berada dalam Malaysia Baharu, namun daripada wakil rakyat, ahli akademik dan pemimpin pertubuhan Melayu seolah tidak mengesan perkara ini sehinggalah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin membangkitkannya pada perbahasan Dewan Rakyat semalam.

Walaupun berdepan pelbagai label, bekas Ketua Pemuda UMNO itu menunjukkan contoh bagaimana ahli badan legislatif perlu memanfaatkan ruang menerusi ucapan perbahasan yang berkualiti dan bukannya lantang dengan laungan semangat sahaja.

Enam konvensyen PBB mengenai hak asasi yang belum diratifikasi dan satu daripadanya, International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination atau Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum.

Persoalan Khairy mudah tapi mustahak, bagaimana dengan kedudukan Perkara 153 yang memberi orang Melayu dan bumiputera hak keistimewaan tersendiri jika konvensyen ini diratifikasi?

Sedangkan Perkara 153 terpateri kemas dengan proses pindaannya adalah antara yang rigid termasuk memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja berbanding kebanyakan peruntukan lain dalam Perlembagaan.

Jadi, perkara ini perlu diperhalusi sedalam-dalamnya. Perkara 153 memang menimbulkan persoalan dari segi demokrasi sejak dahulu tetapi dipertahankan kerana ia satu bentuk diskriminasi positif berikutan ketinggalannya masyarakat Melayu dan pribumi lain dari segi ekonomi dan sosial.

Dari segi sejarah pun diketahui yang Suruhanjaya Reid tidak bersetuju jika peruntukan Perkara 153 tidak ditetapkan had masa, namun atas desakan Tunku Abdul Rahman Putra yang memimpin UMNO dan Perikatan, ia kekal seperti mana sekarang.

Hakikatnya kepentingan Perkara 153 dari segi sejarah dan kelangsungan masa depan negara memang terbukti. Sebab itu, ada negara yang latar demografi seperti Malaysia mahu mencontohi peruntukan ini seperti Fiji suatu masa dahulu bagi menjamin kestabilan negaranya.

Yang penting kita memang menentang diskriminasi dan menerima pakai prinsip hak asasi manusia sejagat tetapi pada masa sama kekal memelihara asas Perlembagaan. Pencapaian rakyat Malaysia jauh lebih baik daripada kebanyakan negara maju pun yang sebahagiannya masih dilingkari isu kaum dan agama.

Maka, asas Perlembagaan yang merupakan dokumen undang-undang tertinggi negara usah dirungkai dalam keterbukaan meratifikasi konvensyen PBB yang bukan semuanya cocok dengan naratif negara ini. Mungkin boleh ratifikasi bersyarat tetapi negara maju sendiri pun bukan meratifikasi semua instrumen perundangan PBB. Jadi apa nak pelik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN