TAIPING – Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera pada bahagian muka dan kepala selepas payung terjun yang dikendalinya sewaktu menyertai latihan tersasar sebelum terjatuh di atas bumbung sebuah rumah di Kampung Asam Kumbang di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.03 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Jelasnya, siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia 33 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang sedang menjalani latihan bermula dari Tekah dekat sini dan sedang terbang pada ketinggian 914 meter dengan menaiki pesawat ringan.
“Sewaktu mengendalikan payung terjun pada ketinggian 304 meter, mangsa dipercayai telah pengsan sebelum payung terjun itu hilang kawalan.
“Insiden tersebut menyebabkan payung terjun itu terbabas dan tersasar ke atas bumbung rumah di Kampung Asam Kumbang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Rafeel Hairul, berdasarkan maklumat ketua operasi latihan payung terjun itu, mangsa dipercayai pengsan selepas terputus hubungan komunikasi sewaktu sedang mengendalikan peralatan tersebut.
Jelasnya, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala dipercayai terhantuk pada bahagian zink rumah itu.
“Anggota bomba menggunakan pengusung untuk menurunkan mangsa dari bumbung rumah sebelum dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.
“Operasi menyelamat mangsa tamat kira-kira pukul 11.57 pagi tadi,” katanya. – K! ONLINE











