PUTRAJAYA – Kejadian yang meragut nyawa enam anggota bomba ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong Rabu lalu dianggap sebagai ‘situasi satu dalam sejuta’.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, walaupun kawasan insiden itu mempunyai kedalaman hanya sehingga paras dada, tetapi keadaan yang berlaku adalah di luar jangka.
“Kesemua mereka mempunyai kelayakan serta mengikuti sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dan masih muda yang dari segi logiknya takkan mereka tidak mempunyai keupayaan untuk berjuang dan bertahan kalau tidak kerana keadaan yang amat luar biasa telah berlaku,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Terdahulu, Raja Kamarul Bahrin melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) di Putrajaya.











