[ANALISIS] Pemilihan MCA turut tersampuk janji populis - Utusan Malaysia

[ANALISIS] Pemilihan MCA turut tersampuk janji populis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK pilihan raya umum yang lalu, Barisan Nasional (BN) tersungkur selepas lebih 60 tahun memerintah dan diganti oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH), ikatan di dalam komponen BN juga semakin terlerai.

Dr Wee Ka Siong
Dr Wee Ka Siong 

Masing-masing membawa haluan sendiri dengan UMNO menjalinkan kerjasama dengan Pas iaitu parti Melayu dan Islam yang lebih dominan, sedikit sebanyak menyebabkan hati komponen parti lain seperti MCA dan MIC yang masih kekal selepas Gerakan keluar daripada gabungan itu terasa hati.

Justeru pemilihan MCA kali ini sangat penting untuk membawa keluar parti itu dari kancah kekalahan terburuk kepada masa hadapan yang lebih baik.

Kini MCA pula mula memainkan isu untuk keluar daripada barisan yang selama ini memerintah dan memakmurkan negara ini sejak negara merdeka lagi.

Gara-gara pemilihan MCA yang bakal berlangsung bulan hadapan, timbul pemimpin yang radikal seperti bekas Presiden, Datuk Seri Chua Soi Lek walaupun tidak bertanding turut menebar janji populis untuk membawa keluar daripada BN.

Soi Lek menggunakan taktik yang sama digunakan oleh PH ketika memenangi pilihan raya iaitu dengan membuat janji popular dan ia bertujuan untuk menjejaskan peluang Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong daripada memenangi jawatan presiden kerana beliau ialah pemimpin dari legasi zaman Datuk Seri Najib Tun Razak.

Satu-satunya ahli parlimen dari MCA itu ditentang oleh Ketua MCA Bahagian Kluang, Gan Ping Sieu dan Ngoo Teck Kiong dari MCA Bahagian Beruas.

Jawatan timbalan presiden pula menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Timbalan Pengerusi MCA Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Bagi jawatan naib presiden, ia menyaksikan perebutan antara sembilan calon.

Mereka ialah, Datuk Tan Teik Cheng, Datuk Seri Ti Lian Ker, Ooi Siew Kim, Ei Kim Hock, Lau Lee, Lim Chin Fui, Yew Teong Look, Tan Seong Lim dan Lim Ban Hon.

TI LIAN KER
TI LIAN KER 

Hakikatnya semua sedar untuk memenangi pilihan raya sesebuah parti perlu mempunyai rakan sekutu dan tidak ada sejarah di negara ini sebuah parti mampu mencapai kejayaan bersendirian.

Namun demikian janji sedemikian tetap dibuat tanpa memikirkan perasaan rakan sekutu yang sedia ada hanya semata-mata untuk memenangkan calon yang kononnya mewakili barisan kepimpinan baharu serta mempunyai idea lebih segar.

Akhirnya apabila memenangi pemilihan janji populis tidak akan dapat dilaksanakan sebagaimana berlaku kepada kerajaan PH.

Oleh itu ahli MCA perlu bijak supaya tidak termakan janji popular dan akhirnya akan menyesal kerana telah ditipu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN