(ANALISIS) Nahas pesawat Lion Air: Imbau detik hitam penerbangan Indonesia - Utusan Malaysia

(ANALISIS) Nahas pesawat Lion Air: Imbau detik hitam penerbangan Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAHAS pesawat Indonesia Lion Air yang mengorbankan kesemua 189 penumpang di Jakarta semalam, kembali menimbulkan soal keselamatan penerbangan di Indonesia.

BERKECAI... Serpihan pesawat Lion Air yang ditemui di lautan dibawa
 
GAMBAR fail pesawat Lion Air Boeing 737-800. - AFP
 

Indonesia sebelum ini pernah disekat daripada terbang ke Eropah dan Amerika Syarikat pada 2007 ekoran kejadian nahas udara yang berpunca daripada kelemahan penyelenggaraan.

Bagaimanapun sekatan itu telah ditarik balik selepas republik berkenaan berjaya membukti iltizam dan berjaya mengatasi masalah yang menimbulkan keraguan pelbagai pihak sebelum ini.

Bagaimanapun kejadian semalam membangkitkan semula rasa bimbang itu, ketika Indonesia seperti negara Asia lain sedang melalui fasa pertumbuhan mendadak industri penerbangan.

Rasa kurang selamat itu meningkat apabila membabitkan syarikat penerbangan tambang murah seperti Lion Air dan banyak lagi syarikat tambang murah di Indonesia.

Syarikat penerbangan berkenaan walaupun memiliki pesawat yang agak baharu, tetapi terus berdepan terus bergeut dengan isu penyelenggaraan yang baik.

Kejadian pertama babitkan Lion Air adalah pada tahun 2004 menyaksikan 26 orang terbunuh manakala 100 lagi cedera apabila pesawat terbabas dari landasan di lapangan terbang di Solo, bagaimanapun pengendali penerbangan itu menyalahkan keadaan cuaca buruk serta angin kencang.

Rekod Lion Air semakin diragui apabila pada tahun 2013, juruterbangnya gagal mengawal pesawat ketika melakukan pendaratan hingga terbabas ke laut di Bali menyebabkan pesawat terbabit putus dua, tetapi sesuatu yang ajaib berlaku kerana tiada penumpang yang terkorban.

Tiga tahun kemudian satu lagi masalah teknikal berlaku kepada pesawat Lion Air ketika hendak berlepas di lapangan terbang Soekarno-Hatta di Jakarta.

Bahkan pesawat Lion Air yang terhempas pagi semalam juga dilaporkan mengalami masalah teknikal dalam penerbangan awal sebelum nahas.

Bagaimanapun tegas Ketua Eksekutif Lion Air, Edward Sirait, masalah tersebut telah diselesaikan mengikut prosedur ditetapkan.

“Pesawat ini sebelumnya terbang dari Denpasar ke Cengkerang (Jakarta). Terdapat laporan mengenai masalah teknikal namun telah diselesaikan mengikut prosedur,” katanya.

Bagaimanapun, Edward enggan menjelaskan lanjut masalah teknikal yang dimaksudkan.

Katanya, Lion Air mengendalikan 11 pesawat dalam kelas sama dengan yang terhempas, Boeing 737 Max 8.

Jelas Edward, pesawat lain tidak menghadapi masalah teknikal sama dan syarikat itu tidak bercadang untuk menghentikan operasi pesawat daripada kelas tersebut.

Jika diimbau kembali sejarah penerbangan Indonesia penuh dengan detik hitam dan yang paling mendapat perhatian adalah membabitkan penerbangan Adam Air pada tahun 2007.

Kesilapan juruterbang dan kerosakan sistem penerbangan menjadi punca sebuah pesawat penumpang Adam Air terhempas ke laut dari paras 10,000 meter dan menyebabkan kesemua 102 orang di dalamnya terkorban.

Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSC) dalam laporannya menyatakan, analisis perakam suara kokpit mendapati, kerosakan sistem navigasi atau Inertial Reference System telah mengalihkan perhatian juruterbang daripada instrumen penerbangan.

“Gila, ini gila. Ini betul-betul teruk, pesawat mula terbang seperti kapal buluh,” itulah rakaman suara kokpit salah seorang juruterbang beberapa minit sebelum jet Boeing 737 itu terhempas.

NTSC menyatakan, 154 kerosakan berulang dalam sistem penerbangan pesawat dilaporkan beberapa bulan sebelum nahas dan pihak Adam Air gagal bertindak untuk mengatasi masalah tersebut.

Industri penerbangan Indonesia sebenarnya memerlukan bantuan untuk menangani masalah penyelenggaraan.

Jika isu itu tidak tangani segera dengan baik ia akan kembali menjadi titik hitam kepada penerbangan Indonesia dan pastinya turut terpalit kepada syarikat penerbangan lain di negara berkenaan serta rantau ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN