BATU KAWAN 25 Okt. – Anak lelaki kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Mohamad Hilmie Ibrahim terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Persiaran Tanjung Permai, dekat sini malam ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.55 malam itu, motosikal Yamaha LC135 yang ditunggangi mangsa Mohamad Farhan, 17, bertembung dengan sebuah motosikal lain yang ditunggang remaja berusia 16 tahun.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintenden Shafee Abdul Samad berkata, ketika kejadian mangsa membelok masuk ke simpang kanan sebelum datang motosikal dari arah hadapan melanggar sebelah kiri motosikal mangsa.
“Akibat rempuhan itu, kedua-dua mereka tercampak ke lorong kiri jalan dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di bahagian belakang kepala.
“Kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Sungai Bakap dan bedah siasat ke atas jenazah mangsa dijalankan pada pukul 11 malam ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










