TIDAK sampai enam bulan memerintah, sudah dua kali Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memperlekeh dan menghina Kelantan secara terbuka. Entah apa sebabnya terlalu negatif pandangan beliau terhadap negeri ini.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak pula menyebut negeri-negeri lain secara spesifik sedangkan hampir semua negeri meminta bantuan dan ‘berhutang’ dengan kerajaan Pusat.
Malah Kelantan tidak berada di carta teratas senarai peminjam kerajaan Pusat. Negeri itu berada di tangga kelima selepas Pahang, Sabah, Kedah dan Sarawak. Kerajaan Pas Kelantan tidaklah hodoh seperti yang digambarkan. Mereka meminta seperti mana seorang anak memohon bantuan daripada bapa.
Setiausaha Agung DAP itu seolah-olah lupa konsep ‘federalisme,’ Pusat membantu negeri. Ketika menjadi ketua pemerintah di Pulau Pinang dahulu juga Guan Eng pernah meminta bantuan daripada kerajaan Pusat.
Benar, beliau mungkin boleh mendabik dada Pulau Pinang mempunyai sumber yang banyak tetapi apabila dilihat kembali kepada sejarah negeri itu bukan wujud 10 tahun lalu. Pulau tersebut telah dimajukan oleh Francis Light sejak tahun 1786 lagi dengan British memberi tumpuan yang hebat. Tinggalan tersebut menjadi asas kepada kemajuan yang dikecapi hari ini.
Begitu juga di negeri-negeri Pantai Barat lain yang sememangnya berada di lokasi strategik di laluan perdagangan Selat Melaka yang kemudiannya menjadi lebih mudah untuk dibangunkan sebagai kawasan perindustrian disebabkan prasarana asas sudah mencukupi.
Pun begitu, Kelantan tetap membangun biarpun agak lambat. Dalam serba kepayahan, Pas telah berjaya memerintah negeri itu selama hampir 50 tahun, pusingan pertama sejak merdeka sehingga 1978 dan pusingan kedua, pada 1990 sehingga hari ini.
Jika dinilai pada rekod, Pas mengurus tadbir negeri ini dengan baik sehingga diberikan penarafan lima bintang atas kecekapan dan ketelusan kerajaan negeri menguruskan hal ehwal kewangan.
Walaupun hebat bermusuh dengan Barisan Nasional (BN) sejak sebelum merdeka sehingga Pilihan Raya Umum Ke-14, namun tidak ada seorang pun pemimpin Pas negeri ini yang dibawa ke mahkamah atas pertuduhan rasuah atau salah guna kuasa.










