KUALA LUMPUR 30 Okt. – Sepasang kasut yang ‘bertatahkan’ 1,188 butir intan berlian 32 karat dan emas putih 18 karat seberat 88.88 gram bernilai RM5 juta ciptaan Pengasas jenama kasut terkenal Lewre Bespoke, Datuk Lewre Lew diisytiharkan sebagai Kasut Pengantin Paling Mahal oleh Malaysia Book of Records, hari ini.

Kasut tersebut begitu menarik perhatian Sultanah Pahang, Sultanah Hajjah Kalsom yang berangkat merasmikan Pameran Koleksi Kasut Premium “I Love You” dan Kasut Pengantin Paling Mahal rekaan Lewre di sebuah majlis pelancaran di sini, hari ini.
Baginda menghabiskan masa hampir satu jam bagi melihat sendiri keunikan kasut pengantin yang mengambil masa selama enam bulan untuk direka dan disiapkan oleh Lewre, yang merupakan anak tempatan yang telah terlibat dalam industri pembuatan kasut ini selama lebih 20 tahun.
Lewre berkata, kasut tersebut sangat istimewa kerana ia buat pertama kali direka sedemikian rupa di negara ini dengan dihiasi butiran intan berlian dan emas yang ditempah khas dari sebuah syarikat ejen batu permata terkenal dunia, Cartivia Itali.
“Dua bulan terpaksa diambil bagi memastikan batu-batu tersebut dapat menghiasi kasut yang diperbuat daripada bahan fabrik bermutu tinggi, iaitu sutera T Rasso juga dari Itali.
“Saya tidak pasti sama ada kasut pengantin ini adalah yang paling mahal di dunia namun saya sangat berbangga kerana ia tidak semata-mata sepasang kasut tetapi sebuah hasil seni bertaraf maha karya yang mampu menaikkan nama negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE










