RIYADH 26 Okt. – Anak lelaki sulung wartawan Jamal Khashoggi dan keluarganya telah meninggalkan Arab Saudi selepas kerajaan negara ini menarik balik sekatan perjalanan terhadapnya.
Pengarah Eksekutif Human Rights Watch (HRW). Sarah Leah Whitson berkata, rakan keluarga tersebut memaklumkan, Salah yang turut memiliki kerakyatan AS dan keluarganya tiba di Washington DC hari ini.
Arab Saudi, bagaimanapun tidak memberi sebarang ulasan.
Jamal yang merupakan wartawan Washington Post dibunuh pada 2 Oktober lalu selepas mengunjungi pejabat Kedutaan Arab Saudi di Istanbul untuk mendapatkan dokumen mengahwini tunangnya yang merupakan warga Turki.
Sementara itu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PB), Agnes Callamard menegaskan Jamal merupakan mangsa ‘pembunuhan di luar bidang kehakiman’ .
“Sama ada mereka (pembunuh) bertindak atas arahan kerajaan atau tidak, perkara itu masih perlu disiasat dan dibincangkan,’’ katanya.
Namun, Callamard menambah, suspek yang terlibat dan yang mengarahkan pembunuhan serta mereka yang merancang mempunyai kedudukan tinggi untuk dikaitkan mewakili Arab Saudi.
Sementara itu, Ketua Pendakwa Arab Saudi tiba di Istanbul, Turki untuk menemui rakan sejawatnya sebagai sebahagian daripada siasatan pembunuhan Jamal.










