BURIRAM, Thailand 4 Okt. – Jagoan MotoGP hari ini memuji Ana Carrasco, seminggu selepas pelumba Sepanyol itu memahat sejarah muncul wanita pertama memenangi kejuaraan motosikal dunia.
Pada 30 September lalu, Carrasco, 21, memahat nama dalam buku rekod apabila memenangi kejuaraan Superbike Dunia kelas Supersport 300 menerusi kelebihan satu mata di Litar Magny-Cours, Perancis.
Menunggang motosikal Kawasaki, Carrasco mengejar dari kedudukan ke-25 untuk menamatkan perlumbaan di tangga ke-13, sekali gus dinobat sebagai juara keseluruhan dalam musim yang disifatkan sebagai ‘sukar dipercayai’.
Penyandang juara MotoGP dunia, Marc Marquez, antara yang amat mengagumi Carrasco, dan menyifatkan kejayaan rakan senegaranya itu telah merobohkan tembok pemisah sukan permotoran.
“Saya sangat gembira, ia amat penting buat dunia motosikal.
“Ini (perlumbaan motosikal) bukan dunia lelaki, wanita juga boleh menunggang dengan laju.
“Ia bukan tentang fizikal semata-mata, malah skil serta mentaliti,” kata Marquez kepada pemberita menjelang Grand Prix Thailand, hujung minggu ini.
Kenyataan pelumba Honda itu, yang kini mendahului kejuaraan MotoGP 2018 dengan 246 mata turut disokong oleh dua pencabar utamanya, Andrea Dovizioso (Ducati) serta Valentino Rossi (Yamaha), kedua-duanya dari Itali.
Dovizioso yang mengekori Marquez di tangga kedua menyifatkan kejayaan Carrasco sebagai ‘keputusan penting’, manakala juara dunia tujuh kali, Rossi, yang berada di tempat ketiga kejuaraan dunia pula menganggap pencapaian itu akan menjadi inspirasi kepada wanita lain.
“Saya harap kejayaan itu bagus buat masa depan karier Ana. Mungkin, pencapaiannya juga akan menarik minat wanita lain untuk menyertai perlumbaan motosikal,” kata Rossi.
Ketika ditanya, apakah Carrasco boleh bersaing di peringkat MotoGP, Rossi mengakui, terdapat perbezaan besar antara Superbike dan MotoGP, namun ia tiada kaitan dengan jantina.
“Bagi saya, dari kelas 300 hendak berpindah ke MotoGP, perjalanannya masih jauh,” katanya. – AFP











