BEIRUT 15 Okt. – Amnesty International mengutuk kegagalan pasukan tentera pakatan yang diketuai oleh Amerika Syarikat kerana mengakui dan juga menyiasat peranannya yang menyebabkan banyak penduduk awam terkorban ketika pertempuran untuk mengusir kumpulan militan di wilayah Raqa pada tahun lalu.
Ketika kempen untuk mengusir kumpulan Daesh di Raqa pada Oktober lalu, dianggarkan ratusan penduduk tempatan terbunuh dalam beberapa pertempuran terutamanya ketika tentera pakatan melancarkan serangan bom.
Setiausaha Agung Amnesty International, Kumi Naidoo dalam kenyataannya berkata, tentera pakatan gagal mengakui, apatah lagi menyiasatnya tentang sejumlah besar kematian penduduk dan juga kemusnahan yang dilakukan di Raqa.
Beliau berkata, selepas setahun, tentera pakatan telah mengakui hanya 100 penduduk awam terbunuh dalam pertempuran di Raqa.
“Meskipun mereka mengaku bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku tetapi mereka enggan menunaikan kewajipan terhadap mangsa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jordan hari ini mengumumkan pembukaan laluan lintasan sempadan utamanya dengan Syria selepas ditutup selama tiga tahun.
Pintu pagar sempadan tersebut dibuka pada pukul 8 pagi waktu tempatan sambil disaksikan oleh puluhan anggota polis dan pegawai kastam.
Selain itu, beberapa buah kenderaan yang mempunyai nombor plat Jordan beratur untuk memasuki Syria.
Pembukaan semula itu dilakukan selepas pasukan tentera kerajaan Syria berjaya menawan kawasan berhampiran sempadan pada Julai lalu menerusi satu perjanjian dengan kumpulan pemberontak. – AFP







