KUALA LUMPUR 26 Okt. – Hentikan penerokaan yang sedang rancak di Cameron Highlands atau pusat percutian tanah tinggi itu bakal berhadapan kejadian tanah runtuh berulang dalam tempoh terdekat.
Itu amaran seorang pakar geoteknik atau kejuruteraan tanah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ir. Dr. Ramli Nazir dengan mengambil kira musim hujan bermula bulan hadapan.

Malah, setelah meneliti pelbagai kejadian terbaharu dan penarahan cerun yang tidak mengikut spesifikasi, beliau sarankan pihak berkuasa mengubah laluan bagi pengguna yang menuju ke Pantai Timur menerusi Cameron Highlands ke jalan yang lebih selamat sehingga musim hujan reda.
Berdasar laporan Jabatan Meteorologi, Cameron Highlands akan menerima curahan hujan 300 milimeter (mm) pada November dan 200mm pada Disember ini.
Bagi Timbalan Pengarah Kanan Sekolah Kejuruteraan Awam Pusat Geokejuruteraan Tropika (Geotropik) UTM itu, jumlah hujan yang dijangkakan itu sangat tinggi berbanding pada bulan-bulan biasa antara 90mm hingga 150mm.
Ini sekali gus, katanya, akan meletakkan Cameron Highlands berisiko tinggi untuk berlaku lagi hakisan tanah dalam tempoh berkenaan terutama di kawasan penerokaan baru di Kuala Terla dan Kampung Raja yang berhampiran laluan ke Pantai Timur.
“Perubahan cerun yang sedang berlaku akibat tanah runtuh di kawasan baharu yang merupakan jalan utama dari Cameron Highlands menghala ke Pantai Timur susulan hujan lebat dijangka berulang.
“Kesan penerokaan di kawasan tersebut menyebabkan struktur pengukuhan cerun tidak sempurna serta tidak mengikut spesifikasi sekali gus bakal mengundang insiden tanah runtuh berlaku lagi selepas ini.
“Buat masa ini, pihak bertanggungjawab tidak boleh mengubah atau membaiki sebarang kerosakan di situ, pemeriksaan berkala di kawasan berlaku tanah runtuh perlu dipantau untuk mengelakkan kejadian tidak diingini lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Tidak sampai 11 hari insiden tanah runtuh menimpa di Kampung Tiga, Kuala Terla, Cameron Highlands sehingga meragut tiga nyawa, kelmarin berlaku pula limpahan tanah di kawasan berhampiran.
Mengulas berhubung cuaca, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Alui Bahari berkata, data untuk bulan November dan Disember menunjukkan tanah tinggi itu dijangka menerima jumlah hujan pada paras purata iaitu masing-masing 300mm dan 200mm, yang dianggap tinggi.
“Paras tersebut adalah sangat tinggi dan jika pada waktu lain, Cameron Highlands hanya menerima purata hujan sekitar 90mm hingga 150mm sahaja.
“Ia sekali gus menyebabkan kawasan tersebut berisiko tinggi untuk berlaku lagi hakisan tanah pada musim hujan ketika ini,” katanya.










