Akta Pengurusan Strata 2013 bakal dipinda - Utusan Malaysia

Akta Pengurusan Strata 2013 bakal dipinda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan percaya Akta Pengurusan Strata 2013 sedia ada yang berperanan sebagai rujukan penyenggaraan dan pengurusan kepada pemaju-pemaju berstrata perlu dipinda dengan beberapa penambahbaikan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, pindaan akta itu perlu dalam memberi impak positif dan signifikan kepada jutaan penduduk di bangunan strata yang hampir membentuk separuh daripada populasi kadar utama negara.

Menurutnya, akta yang sedia ada itu masih tidak cukup untuk memberi penyelesaian atau jawapan kepada beberapa konflik atau isu membabitkan penduduk di bangunan strata yang ditimbulkan.

“Buat masa ini kami masih mengadakan perbincangan dengan pemegang-pemegang taruh dan hasil perbincangan itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Institut Pengurus Fasiliti dan Hartanah Malaysia (MIPFM) di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden MIPFM, S. Sarkunan dan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar.

Raja Kamarul Bahrin bagaimanapun tidak menjelaskan antara    penambahbaikan yang bakal dilakukan menerusi pindaan akta berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN