KUALA LUMPUR 20 Okt. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) akan membawa isu penggantungan sementara tindakan Akta Hasutan 1948 oleh Kabinet ke mahkamah.
Namun begitu, sebelum langkah itu diambil, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut akan membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkaitan laporan mendakwa kononnya beliau menghina Islam.
Sekiranya tiada tindakan di bawah Akta Hasutan diambil terhadap wakil rakyat DAP itu, Perkasa tidak teragak-agak untuk mencabar keputusan Kabinet menggantung akta tersebut di mahkamah.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali menjelaskan laporan polis bakal dibuat esok adalah strategi ‘membunuh dua burung dengan satu batu’.
“Kita mahu uji betul atau tidak Kabinet gantung sementara tindakan bawah Akta Hasutan. Sekiranya betul dan tiada siasatan terhadap wakil rakyat itu, Perkasa akan bawa ke mahkamah keputusan moratorium tersebut,” kata beliau.
Ibrahim berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Forum tergempar kekalkan Akta Hasutan anjuran Biro Undang-undang dan Perlembagaan Perkasa di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengamal undang-undang, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman; Bekas Timbalan Menteri Penerangan, Tan Sri Mohd. Khalid Yunus serta dua pengamal undang-undang iaitu, Adnan Seman dan Khairul Azam Abd Aziz.
Ketika diajukan soalan mengenai keputusan moratorium itu, Abdul Aziz yang terlibat secara langsung dalam penggubalan undang-undang negara, khususnya ketika berlakunya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, memberitahu, perkara itu tidak boleh dilaksanakan.
“Undang-undang sudah ada. Tiada siapa kata undang-undang tidak boleh dipakai,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE








