AKT beri harapan kepada 320 anak asnaf - Utusan Malaysia

AKT beri harapan kepada 320 anak asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG 14 Okt. – Akademi Kulinari Terengganu (AKT) di sini yang ditubuhkan pada tahun 2012 sehingga kini telah membantu 320 anak asnaf mengubah nasib mereka dan keluarga melalui ilmu dan kemahiran yang ditimba.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Osman Muda berkata, ramai daripada mereka berupaya berdikari, melanjutkan pengajian dan memiliki kerjaya dalam lapangan berkenan.

“Maidam membelanjakan sekitar RM8.4 juta bagi menggerakkan dan membiayai mereka mengikuti kursus kulinari dan pastri di AKT.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Apa yang membanggakan, lepasan AKT sentiasa mendapat permintaan yang amat tinggi dalam industri yang melibatkan penyediaan makanan dan pastri khususnya di hotel-hotel.

“Mereka turut berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di institusi pengajian dan kemahiran tinggi yang menawarkan kursus berkaitan manakala yang berminat menjadi usahawan pula mendapat bimbingan dan bantuan termasuk modal melalui pelbagai agensi kerajaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi AKT kali ke-5, di Dewan Serbaguna Pusat Kecemelangan Perkaya, Pulau Kerengga, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), Datuk Prof.Dr. Sudin Haron dan Penolong Pengarah GiatMara Terengganu, Mohd Zaid Abdul Razak.

AKT diuruskan oleh YWM melalui Perbadanan Wakaf Nasional dengan kerjasama GiatMara manakala perbelanjaan kursus ditanggung oleh Maidam di bawah peruntukan zakat.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, seramai 34 pelatih melibatkan dua sesi kursus menerima sijil masing-masing, dan lapan daripada mereka dipilih menerima Anugerah Cemerlang, Anugerah Kreatif, Anugerah Kepemimpinan dan Anugerah Keusahawanan.

Anugerah Cemerlang bagi sesi ke-8 dimenangi Wan Fadhlin Nasuha Wan Khaliluddin, 19, dari Kebor Besar, Manir Kuala Terengganu yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Anugerah Cemerlang bagi sesi ke-9 pula diraih oleh Sharifah Nur Liyana Said Abdul Aziz, 19, dari Beris Lampu, Kuala Besut yang kini menjalankan perniagaan dalam talian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini