Airbnb: Warga emas Malaysia jana RM5.6 juta - Utusan Malaysia

Airbnb: Warga emas Malaysia jana RM5.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Syarikat hospitaliti ber­asaskan komuniti, Airbnb melaporkan kira-kira 800 warga emas di Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas telah menjana pendapatan lebih daripada RM5.6 juta dengan menjadi hos di Airbnb.

Pengarah Serantau, Asia Pasifik Airbnb, Siew Kum Hong berkata, kaji selidik hos global Airbnb juga mendapati golo­ngan tersebut telah menerima lebih daripada 26,700 tetamu dari seluruh dunia sepanjang tahun lalu.

Hampir separuh daripada kumpulan umur warga emas yang terlibat dalam kaji selidik berkenaan menyatakan bahawa mereka mampu tinggal di kediaman mereka hasil daripada menjadi hos dan 41 peratus berkata mereka bergantung kepada pendapatan Airbnb untuk menyara kehidupan.

Pendapatan tambahan hasil daripada menjadi hos kepada tetamu di Airbnb telah membantu ramai warga emas menangani peningkatan kos sara hidup dan penjagaan kesihatan, serta membolehkan mereka terus menetap di rumah dengan menampung kos perumahan atau membiayai pengubah­suaian yang diperlukan.

“Airbnb berbangga dapat menjadi satu platform yang menyediakan peluang yang pelbagai untuk pelancong dan juga hos daripada semua lapisan masyarakat.

“Kami amat gembira untuk melihat trend perjalanan dinamik untuk kedua-dua hos dan tetamu di Asia Pasifik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, kumpulan hos warga emas adalah satu daripada bahagian penting dalam komuniti Airbnb dan merupakan sebuah kumpulan yang berkembang dengan cepat di Malaysia.

Katanya, hos warga emas di platform berkenaan menca­tatkan pertumbuhan tahunan 51.37 peratus daripada 584 hos warga emas pada September 2017 kepada 884 hos pada September 2018.

“Selain itu, hos-hos warga emas juga merupakan hos yang mendapat penarafan terbaik di Malaysia, dengan lebih daripada 76.30 peratus hos-hos warga emas mendapat ulasan lima bintang,” katanya.

Selain daripada sekadar menjadi hos, Kum Hong berkata, pengembara dalam kalangan warga emas Malaysia juga mencatatkan peningkatan.

“Di seluruh Malaysia, bilangan warga emas yang telah membuat tempahan di Airbnb meningkat lebih daripada 86.84 peratus sepanjang tahun lalu dari bulan September 2017 hingga 2018, menjadikan mereka kumpulan umur tetamu yang paling cepat berkembang di negara ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN