KUALA LUMPUR 19 Okt. – Syarikat penerbangan AirAsia melancarkan laluan penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Kunming bermula 30 November 2018.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, penerbangan empat kali seminggu tersebut merupakan laluan keempat Kumpulan AirAsia ke ibu kota wilayah Yunnan selepas Kuala Lumpur, Malaysia serta Bangkok dan Phuket, Thailand.
Katanya, ia juga merupakan laluan antarabangsa ke-10 AirAsia dari hab Kota Kinabalu.
“Kami berbesar hati untuk menawarkan penerbangan terus dari Kota Kinabalu ke Kunming, ibu kota dan bandar terbesar di Yunnan.
“Kunming juga dikenali sebagai ‘Kota Musim Bunga’ dan terkenal dengan iklim yang nyaman dan bunga yang mekar sepanjang tahun, serta merupakan pintu masuk ke barat daya China.
“Laluan baharu ini juga merupakan komitmen kami untuk terus mengembangkan Kota Kinabalu sebagai hab kami di Sabah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Riad berkata, untuk tahun ini sahaja Kumpulan telah melancarkan tiga laluan antarabangsa dari Kota Kinabalu iaitu ke Bangkok, Macao dan kini Kunming.
Ujarnya AirAsia akan menggandakan penerbangan dari Kota Kinabalu ke Shenzhen bermula 1 November 2018.
“Sehingga kini, kami telah membawa lebih daripada 700,000 orang tetamu antara China dan Kota Kinabalu, dan kami yakin laluan baharu ini akan meningkatkan lagi kedatangan pelancong,” katanya.
Bersempena dengan pelancaran laluan baharu berkenaan, beliau berkata AirAsia turut menawarkan tambang termasuk semua untuk ahli bermula daripada RM138 dari Kota Kinabalu-Kunming di laman web rasmi airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia bermula hari ini hingga 28 Oktober 2018 untuk tempoh perjalanan antara 30 November 2018 dan 30 Mac 2019. – UTUSAN ONLINE










