KUALA TERENGGANU 26 Okt. – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan lawatan kerja sehari ke Terengganu yang turut disertai timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan.
Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Mohamad tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini pagi tadi yang disambut barisan kepemimpinan UMNO negeri.
Mereka kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Muhamad, Bukit Besar di sini sebelum menghadiri majlis makan tengah hari di kediaman Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh di Jalan Ibrahim, Bukit Besar.
Dalam majlis itu, Presiden UMNO turut beramah mesra dan bersantai bersama kepemimpinan Badan Perhubungan UMNO negeri serta bekas pemimpin parti berkenaan.
Pada pukul 4.30 petang pula, Ahmad Zahid mengadakan perjumpaan khas bersama kepemimpinan UMNO Terengganu bertempat di Bangunan UMNO negeri di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. – UTUSAN ONLINE










