KUALA LUMPUR 26 Okt. – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran akan terus kekal menerajui parti keramat Melayu itu dan tidak tunduk kepada gesaan Pergerakan Pemuda UMNO supaya bercuti seketika daripada jawatan tersebut.
Terima kasih di atas pandangan PPUM @PPUMOnline saya raikan kepelbagaian pendapat. Namun yang penting marilah kita terus bergerak bersama untuk menentang musuh yg mahu menghancurkan #UMNO. #umnobangkit #prayforumno
— Ahmad Zahid Hamidi (@Zahid_Hamidi) October 26, 2018
Namun begitu, Ahmad Zahid turut menghargai cadangan yang dikemukakan Pemuda UMNO itu atas dasar kepelbagaian pendapat.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru semua ahli UMNO supaya terus bersatu menentang musuh politik mereka.
“Terima kasih di atas pandangan Pemuda, saya raikan kepelbagaian pendapat. Namun yang penting, marilah kita terus bergerak bersama untuk menentang musuh yang mahu menghancurkan UMNO,” katanya dalam status di Twitter beliau, hari ini.
Ahmad Zahid kemudiannya turut berkongsi status Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa Presiden UMNO itu tidak perlu bercuti dan wajar terus menggalas tugasnya.
Semalam, Pemuda UMNO sebulat suara mencadangkan Ahmad Zahid agar bercuti seketika daripada jawatan presiden parti sehingga kes pertuduhannya di mahkamah selesai. – UTUSAN ONLINE









