KUALA TERENGGANU – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil keputusan untuk terus menggalas jawatan tertinggi dalam parti itu sehingga tamat penggal.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau akan melaksanakan mandatnya sehingga tamat penggal pemilihan kerana jawatan-jawatan di dalam parti ditentukan menerusi Perhimpunan Agung UMNO.
“Biar Perhimpunan Agung UMNO yang tentukan jawatan seseorang di dalam parti, bukan disebabkan oleh cadangan atau lain-lain pandangan yang tidak mengikut perlembagaan dan peraturan.
“Saya harap keadilan dalam menentukan hala tuju politik kami dapat diterjemahkan melalui kesatupaduan dalam kalangan parti,” katanya selepas menghadiri perjumpaan khas bersama kepimpinan tertinggi UMNO negeri di Bangunan UMNO Bahagian Kuala Terengganu di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyifatkan Pergerakan Pemuda UMNO mempunyai sebab yang tersendiri untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.
“Sepatutnya perkara itu dibawa maklum kepada saya, Timbalan Presiden, Naib Presiden atau Setiausaha Agung namun mereka memilih untuk berbicara menerusi media.
“Bila ada cadangan untuk saya mengambil cuti atau dalam erti kata lain berundur, saya tidak menganggap ianya sebagai satu pilihan kerana bagi saya mengalah bukanlah satu pilihan,” ujarnya.
Kosmo! hari inu melaporkan Pergerakan Pemuda UMNO sebulat suara memohon Ahmad Zahid untuk bercuti buat sementara waktu sehingga kes pertuduhan pecah amanah dan menerima rasuah yang dihadapinya di mahkamah selesai.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan tersebut bertujuan untuk tidak membebankan Ahmad Zahid atas pertuduhan yang terpaksa dihadapi dan bukanlah sentimen untuk menjatuhkan beliau. – K! ONLINE










