ALOR SETAR – Pemimpin UMNO yang ingin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan disaring terlebih dahulu bagi memastikan mereka ‘bersih’ dan mampu mendukung budaya politik baharu Pakatan Harapan (PH), kata Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Beliau berkata, walaupun Bersatu telah menyatakan kesediaan untuk menerima sesiapa sahaja yang berminat menyertai parti itu termasuk ahli dan pemimpin UMNO, namun perlu memenuhi syarat-syarat tertentu.
“Ya, ia akan mengukuhkan parti di mana sekarang ni pun kita (Bersatu) sudah ada 14 wakil dalam Parlimen dan (Pengerusi Bersatu) Tun Dr .Mahathir Mohamad pun menyatakan kesediaan untuk menerima siapa sahaja yang berminat untuk menyertai Bersatu tetapi kenalah memenuhi syarat-syarat tertentu.
“Maknanya kita tidaklah terlalu terbuka hinggakan Ahli Parlimen Pekan (Datuk Seri Najib Tun Razak), Bagan Datuk (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Baling (Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim), Padang Rengas (Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz), saya ingat dalam senarai ini tak akan kami pertimbangkan, jadi yang lain-lain jika berminat kami alu-alukan,” katanya.
Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyerahan jersi Pasukan Bola Sepak Wanita Kedah bersempena Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah 2018 di sini, hari ini. – Bernama










