Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah tipu gelaran DIMP - Utusan Malaysia

Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah tipu gelaran DIMP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu dan memalsukan watikah pengurniaan Darjah Kebesaran Indera Mahkota Pahang (DIMP) kepada seorang lelaki Ogos lalu.

Tertuduh, Wan Yoon Ann, 34, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Rini Triany Muhamad Ali.

Mengikut pertuduhan asal, dia didakwa menipu Tan Wai Khan, 40, dengan memperdayakan untuk mempercayai bahawa watikah pergurniaan DIMP itu adalah tulen sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM5,000. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Perbuatan tersebut dilakukan di sekitar Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, kira-kira pukul 9.30 malam, 18 Ogos lalu.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, bapa kepada dua anak itu juga mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu dengan curang telah memalsukan satu dokumen watikah pengurniaan DIMP atas nama Tan Wai Khan di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu juga, Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Aisamudin Abdul Rahman, menawarkan jaminan RM10,000 beserta seorang penjamin kepada Yon Ann.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Shalehuddin Salam memohon jaminan tersebut dikurangkan memandangkan Yon Ann terpaksa menyara seorang isteri serta dua orang anak.

Shalehuddin juga memberitahu, anak guamnya itu juga menyara bapanya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menghidap penyakit darah tinggi.

Rini Triany kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini