KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen dari Perlis yang perlu hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini bagi memberi keterangan berhubung siasatan kes seksual membabitkan mangsa bawah umur masih tidak kelihatan sehingga pukul 12 tengah hari ini.
Tinjauan Bernama mendapati kumpulan pengamal media mula berkumpul di hadapan pintu masuk Bukit Aman seawal pukul 8.30 pagi bagi membuat liputan namun kelibat Ahli Parlimen itu masih tidak kelihatan.
Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohamed ketika dihubungi semalam berkata, wakil rakyat itu perlu hadir ke Bukit Aman kerana tidak berada di Perlis ketika ini tetapi berada di Kuala Lumpur atas urusan politik.
Keterangan Ahli Parlimen itu diuruskan oleh Bahagian Siasatan Penderaan dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman.
Difahamkan, satu laporan polis dibuat baru-baru ini yang mendakwa mangsa berusia 15 tahun dicabul oleh Ahli Parlimen berkenaan, namun laporan itu ditarik balik keluarga mangsa.
Bagaimanapun, polis tetap meneruskan siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017. – Bernama









