KUALA LUMPUR 28 Okt. – Khabar gembira daripada Adam Norrodin menjelang Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia, Ahad depan apabila pelumba Moto3 negara itu melakar keputusan cemerlang pada GP Australia dengan menduduki tangga ketujuh di Phillip Island, hari ini.
Pelumba Petronas Sprinta Racing itu mencatat masa 37 minit 48.261 saat untuk mengutip sembilan mata dalam perlumbaan yang turut dicemari beberapa kemalangan.
Ini adalah pencapaian terbaik Adam, 20, dalam tempoh enam bulan sejak menduduki tangga kelima di Argentina, April lalu.
Biarpun meraih keputusan baik, pelumba kelahiran Johor itu belum berpuas hati dengan prestasi keseluruhan kerana menganggap kejayaan menduduki tangga ketujuh dibantu faktor tuah dan bukan persembahan mantap.
“Saya tidak melihat keputusan ini disebabkan kekuatan daripada persembahan saya tetapi ia lebih kepada tuah yang berpihak kepada saya. Perlumbaan, hari ini, benar-benar gila, anda sendiri boleh lihat apa yang berlaku sepanjang saingan.
“Semua pelumba hanya mahu memecut laju tanpa mengendahkan catatan masa sepusingan. Mereka hanya mahu menang. Saya lihat begitu banyak kemalangan di depan saya. Atas faktor itu saya berjaya memperbaiki kedudukan.
“Ada sesuatu yang mengganggu jentera saya. Sukar untuk saya bersaing dengan keadaan seperti ini. Namun saya bersyukur dan gembira kerana masih mampu menamatkan perlumbaan dalam kelompok hadapan,” kata Adam yang akan beraksi dalam perlumbaan di tanah air pada 4 November ini di Sepang.
Jika Adam mendakwa kejayaannya disebabkan tuah, nasib berbeza pula menimpa rakan senegaranya, Hafizh Syahrin Abdullah yang dirundung malang kerana gagal menamatkan perlumbaan MotoGP ekoran terjatuh ketika saingan berbaki sembilan pusingan.
Maverick Vinales dari Sepanyol memenangi perlumbaan itu menerusi catatan 40:51.081s manakala penunggang Itali, Andrea Iannone di kedudukan kedua (40:52.624s) dan rakan senegaranya, Andrea Dovizioso ketiga (40:52.913s).
Seorang lagi pelumba Malaysia yang beraksi dalam kelas Moto2, Khairul Idham Pawi dari Idemitsu Honda Team Asia menamatkan aksinya di kedudukan ke-16 (39:38.777s).










