92 PATI ditahan cuba seludup keluar dari Malaysia - Utusan Malaysia

92 PATI ditahan cuba seludup keluar dari Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan 92 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia yang disyaki cuba menyeludup keluar dari negara ini melalui laluan tidak diwartakan di perairan Tanjung Lompat, Desaru, dekat Kota Tinggi, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata penahanan kesemua yang menaiki sebuah bot pancung itu dilakukan pada kira-kira 8 malam sejurus pihaknya menerima maklumat awam berkaitan aktiviti penyeludupan migran.

“Pemeriksaan terhadap bot itu menemui 92 orang membabitkan 49 lelaki dan 36 wanita berumur lingkungan 18 hingga 63 tahun serta tujuh kanak-kanak iaitu dua lelaki dan lima perempuan berumur dua hingga enam tahun,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata tekong bot pula gagal ditahan selepas disyaki bertindak terjun ke laut.

Katanya kesemua mereka kini disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2010 (ATIPSOM) dan Akta Imigresen 1959/63 kerana keluar atau masuk ke negara ini melalui kawasan yang tidak diwartakan.

Dalam kes berasingan, Mohd Zulfadli berkata pihaknya turut menahan sebuah bot nelayan tempatan, semalam, kerana didapati melanggar syarat sah lesen dengan menunda pukat dalam kawasan tidak dibenarkan di perairan Tanjung Sedili.

Beliau berkata kegiatan dilakukan bot kelas C itu dikesan kapal peronda APMM ketika melakukan rondaan di perairan terbabit kira-kira 1.30 petang.

“Bot tersebut didapati sedang menunda pukat dalam kawasan tidak dibenarkan iaitu di kedudukan lebih kurang 9.5 batu nautika timur Tanjung Sedili Besar. 

“Tekong bot, empat awak-awak serta bot berkenaan kemudian dibawa ke Pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN