KUALA LUMPUR 30 Okt.- Sebanyak sembilan warga India serta seorang lelaki warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen kerana disyaki terlibat dalam sindiket penggodaman sistem MyImms bagi mendapatkan kuota palsu pekerja asing menerusi serbuan di Jalan Masjid India di sini, semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 7.30 malam itu, Jabatan Imigresen turut merampas sebanyak 1,731 pasport pelbagai negara, wang tunai berjumlah RM97,086 dan lapan buah komputer.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, kesemua suspek berusia antara 23 hingga 73 tahun itu dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak lapan tahun lalu.
“Sindiket ini beroperasi dengan menggodam sistem MyImms bagi mendapatkan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).
“Mereka turut dikenakan bayaran tertentu sebanyak RM7,000 bagi pekerja yang belum memasuki negara ini dan memerlukan surat visa manakala RM1,500 untuk warga asing yang telah bekerja di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Tambah Mustafar, kesemua yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport.- UTUSAN ONLINE










