SUASANA di sekitar stesen kereta api Harrow & Wealdstone yang terletak di London, United Kingdom, awal pagi itu kelihatan tenang seperti biasa.
Di satu sudut kaki lima stesen tersebut, sekumpulan individu dilihat sedang duduk berteleku sambil memegang nyalaan lilin. Riak sedih jelas terbayang di wajah masing-masing.
Situasi tersebut sering dilihat pada 8 Oktober setiap tahun. Pada waktu itu, orang ramai akan datang ke stesen tersebut untuk memperingati mangsa-mangsa nahas kereta api yang berlaku pada tahun 1952.
Isnin lalu, genap 68 tahun tragedi tersebut berlaku di stesen kereta api Harrow & Wealdstone.
Mengenang kembali peristiwa itu, menurut salah seorang saksi yang dikenali sebagai Gilbert Powell, 82, ketika kejadian berlaku, dia baru berusia 14 tahun.
“Seperti hari-hari biasa, awal pagi itu, saya sedang menunggu sebuah bas berhampiran stesen tersebut untuk ke sekolah. Tiba-tiba, saya terdengar bunyi dentuman yang sangat kuat.
“Suasana hening mula bertukar menjadi kecoh. Sekumpulan orang awam berlari dalam keadaan cemas menuju ke arah beberapa buah gerabak yang sudah terbalik di atas landasan,” jelasnya.
Kedua terburuk
Menurut Powell, kejadian itu berlaku disebabkan oleh kegagalan sebuah kereta api dari Euston menghala ke Liverpool untuk mengawal kelajuannya sehingga terbabas dan merempuh dua kereta api lain yang berada di platform.
Dalam kejadian itu, seramai 112 orang mangsa yang berada di dalam gerabak kereta api maut, manakala lebih 300 orang yang lain cedera.
Kemalangan itu merupakan kejadian kedua terburuk melibatkan kereta api selepas insiden yang berlaku di sebuah stesen di Quintinshill, Scotland sekitar tahun 1915.
“Dalam insiden yang mencemaskan itu, saya lihat puluhan mayat terbaring kaku. Ada yang mengerang kesakitan dan ada yang menjerit lemah meminta pertolongan.
“Walaupun ketika itu saya perlu ke sekolah, namun saya terpanggil untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa,” jelasnya.
Menurut Powell, tanpa disuruh oleh sesiapa, dia berlari ke lokasi kejadian untuk mencari mangsa-mangsa yang masih bernyawa.
“Disebabkan badan saya yang kecil dan mudah untuk menyelinap masuk ke dalam gerabak yang remuk tersebut, seorang pegawai penyelamat mengarahkan saya masuk dan meninjau ke dalam bangkai gerabak untuk mencari mangsa.
“Setiap kali melihat mangsa yang masih hidup, saya akan menjerit dari dalam untuk memaklumkan kepada mereka. Dari situ, mereka akan menggunakan alat menyelamat untuk mengeluarkan mangsa tersebut,” ceritanya.
Hargai kehidupan
Ujar Powell lagi, dia yang pada waktu itu merupakan individu paling muda membantu mangsa nahas mula menjadi buruan media dan kisahnya menyelamatkan mangsa mula terpampang di dada akhbar.
Selain Powell, Keith Cheyney, 86, yang merupakan mangsa nahas terselamat akan turut berada di kawasan tersebut setiap kali 8 Oktober.
Menurut Cheyney, tragedi yang menimpanya 68 tahun lalu membuatkan dia kini lebih menghargai kehidupan yang dijalani.
Menurutnya lagi, dia yang pada waktu itu berusia 18 tahun bersama beberapa orang rakan yang lain berada di koc paling hadapan kerana gerabak di belakang terlalu padat.
“Saya dapat melihat sebuah gerabak laju meluncur di hadapan kereta api sejurus ia bersedia untuk bergerak.
“Sedar-sedar, kedua-dua gerabak sudah pun berlanggar. Suasana menjadi gelap dan kepulan asap serta wap di mana-mana.
“Saya tidak dapat melihat keadaan sekeliling dan terpaksa menunggu bantuan tiba. Apa-apa pun, saya bersyukur kerana terselamat dalam nahas itu,” jelasnya.











