KOTA BHARU 31 Okt. – Kerajaan Pas Kelantan mengenalpasti 607 pusat pemindahan banjir di seluruh negeri ini yang dijangka mampu memuatkan 198,060 mangsa tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Mumtaz Md Nawi berkata, kerajaan melakukan pelbagai penambahbaikan bagi menghadapi musim tengkujuh selepas mengambil iktibar daripada pengalaman sebelum ini.
Beliau berkata, penambahbaikan dilakukan sama ada terhadap sistem pengurusan yang melibatkan pelbagai agensi mahupun prasarana dan kemudahan untuk mangsa.
“Kita juga sudah menyediakan direktori untuk memantapkan jaringan hubungan terutama kalangan petugas.
“Pada tahun ini makanan alas perut juga disediakan sebagai bantuan awal untuk mangsa dan sehingga kini kita sudah mempunyai 5,463 sukarelawan yang akan bertugas di pusat pemindahan,” katanya semasa berucap dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Adun Kemuning, Mohd Roseli Ismail (Pas) mengenai langkah-langkah diambil kerajaan negeri menghadapi musim banjir tahun ini. – UTUSAN ONLINE










