NEW DELHI 20 Okt. – Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh apabila sebuah kereta api merempuh sekumpulan orang ramai yang sedang menyaksikan pertunjukan bunga api di Punjab, India, malam tadi.
Sebanyak 90 orang lagi dilaporkan cedera dalam kemalangan itu dengan kebanyakannya parah sehingga mengakibatkan hospital kehabisan ruang bagi menempatkan mangsa terbunuh sehingga memaksa mayat-mayat diletakkan di luar premis.
Bencana dekat bandar Amritsar di utara negara ini mencetuskan tuntutan baharu bagi pembaharuan keselamatan terhadap sistem kereta api yang merekodkan ribuan kematian pada setiap tahun.
Menurut polis, mangsa tidak mendengar ketibaan kereta api ekspres Jalandhar-Amritsar berikutan bunyi bising daripada letupan bunga api semasa mereka menyambut satu festival Hindu.
Pihak berkuasa berkata, sebuah lagi kereta api hampir merempuh kumpulan orang ramai dua minit sebelum kemalangan itu berlaku.
Katanya, kebanyakan mayat mangsa terputus akibat kejadian itu dan usaha untuk mengenal pasti mangsa dijangka mengambil masa beberapa hari.
Ketua pegawai perubatan Amritsar, Hardeep Singh berkata, sebanyak 59 orang disahkan terbunuh dengan 25 mayat masih tidak dapat dikenal pasti manakala sebanyak 90 orang lagi cedera.
Media tempatan bagaimanapun melaporkan, angka kematian akibat nahas itu berjumlah 61 orang.
Sementara itu, Gabenor negeri Punjab, V.P. Singh Badnore berkata, mereka yang bertanggungjawab akan dihukum dan kebertanggungjawapan akan ditegakkan. – AFP









