MUAR 23 Okt. – Sebanyak 54 wanita warganegara Vietnam yang dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dicekup di tiga premis hiburan berasingan di daerah ini, kelmarin.
Serbuan bermula pada pukul 1.30 pagi membabitkan 42 pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri itu turut menyelamatkan seorang remaja Vietnam berusia 17 tahun yang disyaki dipaksa bekerja sebagai GRO.
Pegawai Turus D7 Johor, Deputi Superintenden Mohd. Zairi Badderul berkata, pihaknya turut memberkas tiga lelaki tempatan berumur antara 34 hingga 56 tahun yang mengaku bekerja sebagai pengurus premis.
Menurutnya, tindakan ke atas kesemua wanita warganegara asing yang berusia 27 hingga 38 tahun terbabit dilakukan mengikut Akta Imigresen.
“Sementara tiga pengurus premis itu turut dikenakan tindakan di bawah Akta Imigresen dan Enakmen Hiburan Negeri Johor kerana kesalahan menggaji dan melindungi pekerja asing tanpa permit kerja yang sah dan menjalankan pusat hiburan tanpa lesen perniagaan sah,” katanya ketika dihubungi di sini kelmarin.
Ujar Mohd. Zairi, seorang pengurus premis terbabit turut diambil tindakan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang kerana mengeksploitasi wanita dan kanak-kanak untuk bekerja sebagai GRO di pusat hiburan tersebut.
Tambahnya, polis juga menahan dua pelanggan masing-masing kerana memiliki dadah jenis ganja serta dikehendaki bersabit kes narkotik di Kuantan, Pahang.











