54.9 peratus wanita rasa tidak selamat bersiar di Selangor - Utusan Malaysia

54.9 peratus wanita rasa tidak selamat bersiar di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Seramai 54.9 peratus wanita di Selangor didapati berasa tidak selamat apabila bersiar-siar di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha berkata, kajian tersebut dilakukan Institut Wanita Berdaya (IWB) terhadap 725 responden yang berusia 18 tahun ke atas pada tahun lalu.

Katanya, berdasarkan jumlah tersebut, hampir 15 peratus menyatakan rasa sangat tidak selamat.

“Hakikat ini perlu akui dan kita harus menghapuskan perasaan takut wanita itu dengan meningkatkan ciri keselamatan bagi mengelakkan kes jenayah seperti ragut dan cabul.

“Ini termasuk dengan pencahayaan yang cukup di jalan raya, penyediaan koc lebih banyak untuk wanita bagi pengangkutan awam dan saiz tandas yang lebih besar,” katanya pada sidang akhbar selepas sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia peringkat Selangor di Pusat Konvensyen Setia City di sini hari ini.

Sehubungan itu, Haniza menegaskan bahawa bandar mesra wanita perlu diwujudkan di negara ini amnya dan Selangor khususnya seperti dilakukan di Korea Selatan dan Filipina.

“Walaupun, perkara itu dianggap kecil namun ia memberikan kesan besar terhadap keselesaan wanita secara keseluruhannya.

“Justeru, kerajaan negeri Selangor sedang berusaha memastikan kewujudan Bandar Berdaya Huni bagi memberikan lebih kebebasan kepada wanita supaya hak berekreasi mereka tidak terhalang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN